* * *
Panas
4 Ramadhan
Tiada jenuh merangka hari, buat tak apa tak buat bertambah melarat. Songsang segala temujanji. Tika ini aku menulis dalam sedar, telusi haluan malam sampai lenguh frekuensi.
Telefon bimbit jenama murahanku membisu sedari tadi. Dari azan maghrib membawa ke isyak sebingkisan dari Rasha tiada ku temui. Cacau, hatiku mulai membisik penuh dengus, tanda tanya tak keruan namun tidak juga mulakan ucapan. Aku malu berbaur mahu, perlukah memulai bicara bisu di layar gajet empat segi itu?
Bingkas aku bangun dari posisi meja kerja. Matikan kerisauan, gebar rona tahi cicak meloros ketubuhku. Aku terus pejam walaupun tidak lena. Adakah dia mengingatiku sepertimana aku mengingatinya. Kelam malam membuat aku larut bersama mimpi.
Bismikallah humma ahya waamut.
* * *
“Awal ke tidur semalam?” pagi 4 Ramadhan aku menemui Rasha selepas pulang kerja. Berjanji mahu berbuka bersama tapi rasanya tidak manis kerana terkejar solat Terawikh, manakan Maghribnya pula.
“Tak adalah, semalaman semalam tak dapat tidur. Baca Quran sajalah,” jawapan Rasha penuh jujur. Aku terpedaya dalam risau semalam.
“Oh, ingatkan kenapa. Tak ada message macam biasa,” aku tidak matikan bicara.
“I tak mahu ganggu U. Lagipun baca sampai tak sedar masa berlalu,” sambil senyum aku menatap Rasha endah tak endah. Ada lain diwajah Rasha.
“Tak apa, sudah ke juzuk empat?” aku merungkaikan keremot di wajah Rasha. Dalam malu Rasha tunduk.
“Hurm, belum lagi. Tak dapat nak ikutkan sangat. Ya Allah, nak buat benda baik susah betul”, jawapan dari Rasha.
“Bacalah selalu. Baca Quran ni macam berterawikh juga. Bukan senang nak habiskan 21 rakaat. Waktu solat rasa mengantuk saja, tapi lepas dah habis rasa seronok pulak. Kalau hati ikhlas, InsyaAllah Allah akan beri rasa seronok membaca Al-Quran,” aku menambah.
“Semalam I berbuka sekeluarga. Abu ada juga,” aku bingkas mengubah haluan. Ada agenda lain.
“Oh”, wajah Rasha berubah.
“Ada jumpa Abu?”
“Tak adalah, nak buat apa lagi,”
“Baguslah, tak elok jumpa lagi. Nanti apa orang kata,”
Selepas mematikan segala persoalan aku minta undur diri. Naza Suria Scarlet Red milik Rasha ku ekori sampai ke rumah. Lalu dari kejauhan mata, ku luncuri keretaku bernoktah ke rumah.
Kisahku dengan Rasha sangat rapuh. Hati lelaki yang kononnya kental berkocak kerana seorang perempuan bernama Rasha. Jiwa kerdil milik seorang gadis bernama Rasha sering ku bukukan dalam diari hati. Tingkah gayanya sering bermain di layar mata walau sebolehnya aku mengelak berbuat dosa tanpa sedar. Rasha satu anugerah. Tidak keterlaluan untuk ku sogorkan sebuah bahasa indah buat insan bernama Rasha Medina, kerana dia paling layak menerima apa yang ku madahkan tentangnya hari ini. Rasha Medina, harfiahnya apa.Tidak sekalipun dalam hidupku mendengar nama seindah itu. Wallahu’alam.
* * *
6 Ramadhan
Selesai solat asar, aku mengambil sedikit masa menjenguk umul kitab. Surah Al-Ana’am membuat ku terbuai. Kisah di dalamnya banyak menyimpan resepi kehidupan, kebesaran Allah dan kenabian nabi. Sambil-sambil menyusun tajwid yang sekat-sekat aku teringat pada kisah seorang cendekiawan Islam tersohor Mu’adz Al Jabal. Beriman kepada Allah kerana takut tidak akan timbul lagi Subuh padanya dan terus mengejar imannya kerana takut tak kelihatan pagi selepas Subuh.
Ya Allah Maha Esa, sebuah rintihan dari hamba-Mu ini harap diambilkira. Aku terlalu sibuk mengumpuli kekuatan dunia, mengejar harta dan nama. Aku takut Ya Allah, andai ibadahku tak sempurna, kerana ibadat sekecil ini tidak pernah menang tangan untuk ku aturkan setiap kala. Hanya Ramadhan Ya Allah, hanya Ramadhan menemukan kita sebegini kerap, sebegini akrab. Ya Allah…
Mendail nama Rasha agenda selepas asarku. Selepas dua kali telefon berdering suara Rasha membungkam.
“Assalamualaikum” introduksi kemas dari Rasha.
“Waalaikumusalam, sihat ke hari ni?” aku mulakan bicara panjang.
“Ye sihat, Zie sihat?” kedengaran hembusan nafas kuat dari Rasha.
“Alhamdulillah Rasha, Alhamdulillah”, aku membetulkan perucapan Rasha.
“Oh ya, Alhamdulillah”,
“I sihat juga, Alhamdulillah. Maaf menganggu, malam ni I nak jumpa U boleh? Lepas terawikh tak apa. Ajakla Zana temankan,”
“Adehal penting ke Zie?”
“Ye adehal penting I nak bincang dengan U,”
Selesai bicara aku membuka langkah keluar pejabat. Hari ini mahu pulang segera, membeli sedikit juadah berbuka dan pulang saja ke rumah. Buat apa banyak, cukuplah sekadar mengalas perut tuaku yang sudah lepes ini. Kalau ada Abu boleh juga dua tiga mata.
Anak mata Rasha sudah bersinar dari kejauhan. Kain putih berbunga jarang menyelubungi kepala terbang-terbang ditiup angin malam. Anak rambut bertempiaran dek cuaca malam yang sejuk. Dua anak gadis lengang lengok berjalan menuju restoran. Cerminan anak melayu sekarang.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumusalam, duduklah,”
Rasha duduk di depanku. Kelumbung dibetulkan biar nampak rambutnya sedikit saja sementara Zana pula membetulkan duduk disebelah Rasha.
“Lama tunggu. Maaf, I terlewat ambik Zana, kesian Zana lama juga tunggu,”
“Tak apa, I pun baru sampai. Lambat pula terawikh malam ni. Tukar masjid, imam baca surah panjang.. ha.. ha..”
Rasha dan Zana senyum.
“Tadi Abu datang ke ofis,”aku teruskan agenda. Kulihat wajah Rasha berubah.
“Soal apa?” Rasha mendengus dalam hati, buat-buat tidak tahu.
“Kami berbincang pasal kita, dia banyak bangkitkan rasa bersalah I pada dia, pada keluarga dan pada U Rash,”
“Malam 4 Ramadhan lepas I bertemu keluarga. Mami, abah, Noura dan Abu pun ada. Mereka dah dengar kata putus I. I nekad mahu jadi suri U Zie. Kita sama-sama sudah sebulat mahu nekad,” Wajah Rasha menghulur kekuatan.
“Patutlah dia berjumpa I. 2 jam dia berusaha menyedarkan seorang ayah Rash,”
“Perbincangan U hanya 2 jam. Hubungan kita sudah 2 tahun Zie,”
“U jangan lupa Rash, I kenal Abu Hurairah lebih 26 tahun,”
Kami hampir tegang malam itu. Zana membisu tanpa kata. Dia buat-buat tak dengar tapi aku pasti dia mendengar. Aku mahu Rasha mahupun Zana sedar, Tuhan menjadikan kesilapan untuk dibetulkan bukan untuk menerima kesilapan sebagai takdir. Aku telah melalui zaman kedaifanku tapi aku tidak mampu menghindarinya. Kuasa dan kedudukan tak menjanjikan seluruh hidupku diatur dalam kemahuanku.
* * *
8 Ramadhan
Perbincangan malam itu tidak menyelesaikan apa-apa. Kerana sudah tertulis setiap kesalahan pasti ada hukuman. Mungkin hari ini aku sedang dihukumi, seolah seorang anak kecil yang dipukul telapak tangannya kerana bercakap menipu. Aku adalah jelmaan anak kecil yang sudah kerepot, dihukum tetapi masih tidak sedar.
Semuanya berpunca dari hari erotik aku menemui Rasha dihospital dua tahun lalu. Kelakarnya waktu itu aku adalah pesakit Rasha. Doktor muda yang sangat cantik pada paras itulah permulaan aku menilai Rasha. Waktu itu Rasha masih belum berkerudung separuh seperti sekarang. Lenggok manjanya menampan hati lelakiku.
* * *
4 Ramadhan
Aku baru selesai membaca ayat suci Al-Quran. Begitu menenangkan. Kepala tidak dapat dikawal, jiwa tergudik-gudik meronta. Baru saja menghenyakkan seluruh kekuatan dari Allah menyatakan pasti pada mama dan abah. Bukan menentang yang tidak baik, aku mahu menyatakan suaraku kepada mereka.
Secangkir milo panas mengalir dalam tengkuk.
“Rasha nekad abah,” pengakuan beraniku pada abah.
Aku lihat wajah abah tiada darah. Hatinya rebas.
Cinta terhalang, itu mukhadimah terbaik pada pengenalan cinta yang ku jalin bersama Radzi. Aku tidak tahu cinta semacam apa yang Tuhan berikan, tapi aku telah menyatakan nekad pada mama, abah, Noura dan Abu. Sudahnya, malamku hanya berlagukan ayat-ayat suci. Tangisan tiada makna lagi. Itu hanya dengus anak-anak muda pabila cinta tak direstui. Merindu, ungkapan jelek yang memuntahkan.
Mulai menyintai ayat-ayat Al-Quran juga permulaannya dari Radzi. Kerana itu aku tidak faham kenapa cinta yang aku genggami selepas menolak kehadiran Abu dihalangi sampai kering airmata. Aku mengelubungi separuh dari kepala telanjangku juga kerana Radzi. Siapa si gila yang mahu akui dengan ikhlas menutup mahkota kepala sewaktu anak rambut masih lebat disadur warna jingga, sewaktu rebonding sangat popular diiklankan. Aku menolak itu kerana Radzi. Tanpa rungut, tanpa racau dalam hati. Aku ikhlas mendulukan Radzi dalam soal mengaturi tingkah hidupku selepas 2 tahun lalu. Adakah itu tidak dapat menjadi cerminan peribadi Radzi?
Salam Along, Nou mohon maaf klu perbincangn td melukai hati Along. Nou hrp Along rasional dlm membuat keputusan. Khidmat pesanan ringkas dari Noura mematikan lamunanku. Sebuah pengharapan yang tidak dapatku janjikan penyudah yang baik.
* * *
6 Ramadhan
“Rash nak ke mana?” abah memintas langkahku. Ruang tamu yang tersusun rapi tidak menolak sapaan abah.
“Eh abah, Rash nak jumpa kawan. Dah habis terawikh ke?” senyumku mengundang syak pada abah. Abah sudah masak dengan tingkahku.
“Rash nak jumpa Datuk ke?” soalan abah mendesup ke jantungku. Tingkah abah bersahaja . Tutur badan abah tenang dan teratur. Seraya melabuhkan punggung renyuk ke dalam kerusi baldu.
“Er, abah.. Rash tak lama. Rash ajak Zana temani Rash,” aku mencucuhi kemarahan abah. Masih berdiri tidak banyak akal.
“Rash, malam begini tak elok anak dara keluar. Lagi pula bulan-bulan puasa ni. Syaitan yang ghaib tak ada, syaitan berupa masih ada,”
“Rash adahal mahu bincang dengan Radzi bah,”
“Rash, hidup kita sekali aja Rash. Kenapa cinta yang tidak pasti membawa kita ke mana tu dikejar bagai tak cukup hari. Ajar hati bersabar dan berdoa, bertakafur kepadanya agar apa yang tidak nampak ditunjukkan dengan jelas. Buat apa berbincang tak ada sudah. Sudahnya Dia juga yang kita terhegeh minta bantuan,” abah campakkan ilmunya yang berat di dada membentuk nasihat berguna. Aku menelan liur rasa bersalah.
Abah mengambil tasbih melilit jemari.
“Rash dah janji bah,” dasyatnya aku tegar.
“Terpulanglah Rash. Abah tak layak nasihat seorang doktor terpelajar macam Rash,”
“Ya Allah abah, jangan buat Rash rasa berdosa. Rash mohon abah fahami Rash,”
“Pergilah Rash, jaga diri. Abah harap Rash buat keputusan mengikut kepandaian fikiran Rash, bukan kepandaian hati Rash. Hati selalu tamak dan berbohong,”
Selesai bersalaman aku keluar dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim. Semoga pertemuan dengan Radzi dalam restu abah dan tidak mengundang apa-apa yang tidak enak.
Bukan apa-apa, kerana suatu insiden aku bertemu Radzi dalam hela hari yang meninggalkan kenangan indah dan ironi. Dulu aku bukan begini, kelumbung yang membalut kepala belum lagi kubiasai. Aku bukan gadis liar, jauh sekali tidak diajar tentang agama, namun hatiku menolak fitrah agama kerana aku sibuk mengejar perihal dunia dan harta.
Doktor lepasan Universiti terkemuka itulah pengenalan sijilku. Merawat Radzi tika itu adalah satu agenda harianku kerana Radzi pernah mendiami Institut Jantung Negara selama seminggu kerana dipercayai menghidapi sakit jantung.
Selepas keluar dari situ kami kerap sama-sama minum petang di Hotel Istana, Jalan Raja Chulan untuk berdiskusi tentang penyakitnya dan lain-lain isu dunia. Mungkin itu caranya Radzi menangkap perhatianku terhadapnya. Masihku ingati riak wajahnya sewaktu melihat aku bergegas mendapatkannya di lobi hotel acapkali. Sofa corak flora men
* * *
10 Mei tahun lalu
“Cantiknya adik Along,” wajah Noura membiaskan keserian.
Pagi ini Noura akan bertunang. Sebulan dari sekarang Noura akan bernikah. Nampaknya adinda bongsuku lebih dulu menamatkan zaman daranya. Tak apalah. Semuanya juga gara-gara aku, melepaskan Abu kepada Noura. Ah, biarlah.. aku sendiri sudah ada Radzi. Abu bukan lelaki yang tepat untukku tiduri. Apatah lagi berkongsi hal-hal yang berat tentang dunia hari ini dan hal-hal agama yang sangat kompleks. Perkahwinan bagiku bukan soal dalam seluar sahaja, aku mahukan hidup yang setara akal yang tinggi. Menggapai tahap yang tidak dapatku gapai. Aku mahukan lelaki yang ada cerita-cerita menarik, menangkap nafsu perempuanku sampai dalam-dalam. Yang tidak terfikir pada akal orang biasa.
Mengahwini Abu apa yang ku nampak menjadi seorang isteri mithali. Mithali bukan saja menurut perintah suami tetapi melangkaui had-had sopan yang tiada batasan seperti seorang hamba. Aku juga taat pada Radzi tetapi masih punya ruang mengisi kerisku kebelati suami. Dalam bahasa mudahnya aku tidak mahu diarah itu dan ini. Aku mahu diajari dengan ilmu sehingga tidak ada pertikaian lagi. Aku mahu bila berkata tidak, masih ada hujah yang perlu dikukuhi.
Sekilas aku melihat foto Abu di atas meja solek. Lelaki gilaian wanita ini tidak dapatku nafikan lagi. Abu Hurairah jelmaan manusia yang sempurna fizikal dan mentalnya. Aku sendiri pernah terpedaya dengan fizikalnya sewaktu diuniversiti dulu. Namun hubungan kami tidak lama kerana aku menidakkan keindahan hubungan kami lekas selepas mengenali Radzi.
“Panjang mengelamun, rombongan dah nak sampai tue. Along teman Nou dalam bilik ye,” Noura melempiaskan suara.
“Oh ya, along sedih adik along dah nak tinggalkan along. Tak ada lagila orang nak buatkan Milo tabur malam-malam,” aku bercanda mengaburi lamunan.
“Alah along ni. Buat orang sedih pulak. Lepas ni along kahwin cepat-cepat. Suruh suami along buatkan milo tabur,” kami sama-sama ketawa.
“Eh dah, anak dara tak boleh banyak cakap. Nanti perut masuk angin. Kang sakit perut atas pelamin,” aku mematikan idea-idea lucu dari Noura.
“Selepas kahwin, perlu taat pada suami. Jangan buat apa suami tak suka. Kalau ada masalah bincanglah baik-baik. Berkahwin ni sekali seumur hidup, bukan macam cari kerja,” aku melemparkan nasihat-nasihat yang selalunya keluar dari mulut seorang kakak.
Seperti selalu Noura senyum manja. Ku lihat seri seorang isteri memercik ke wajah manis Noura.
“Anak teruna dah sampai,” bisik Atuk Auntie dari pintu.
Aku tergamam. Anak teruna itu adalah Abu. Aku senyum pada Noura. Kulihat Noura senyum tanpa kata. Aku pasti dia telah melupakan segala kisah silam antara aku dan Abu.
“Along, Nou berdebar,” Noura membias kata perlahan.
“Tak apa, along kan ade. Banyakkan berselawat…berzikir,” aku membisikkan zikir ditelinga Noura. Teringat pesanan Radzi. Andai rasa cemas, zikirlah di dalam hati. Zikir yang sempurna mampu menghilangkan rasa cemas.
Dari dalam bilik aku dapat mengagak apa yang berlaku di luar. Ramai juga rombongan dari keluarga Abu sampai. Hingar bingar yang sedikit tadi sudah bertukar menjadi bisik-bisik. Mungkin rombongan lelaki sudah sedia diruang tamu.
Pembahagi dinding antara bilik dan ruang tamu tidak menghalang telinga mendengar perundingan kedua belah pihak. Aku dan Noura memasang telinga. Teringin benar dengar bincang-bincang orang tua.
“Saya kenalkan ini ibunya si Abu. Datin Hishmah,” suara seorang lelaki separuh umur memperkenalkan ahli keluarga Abu satu persatu.
* * *
bersambung
Modeled: MA Lady Couture

