11 SepBapa dan Seketul Sabun


Tiap kali mencuci pakaian kisah ini pasti saya ingati dan hari ini teringat untuk berkongsi cerita dengan teman-teman.

Suatu pagi pada tahun lalu sedang saya mencuci pakaian bapa menyapa saya dengan memegang seketul sabun. Waktu itu dia baru selesai membersihkan diri di bilik mandi yang satu lagi.

“Sabun ni bapak beli sebab dengar kat dalam iklan, katanya bagus.. badan wangi tahan lama dan boleh putihkan badan. Mahal dari sabun biasa,” tersengih bapa saya menunjukkan sabun yang dimaksudkan. Saya senyum dan agak kehairanan. Sepengetahuan saya memang bapa yang selalu membeli sabun tapi jarang dia beritahu keterangan mengenai sabun yang dibeli. Bagi kami apa yang dibeli pakai saja. Telahan ada dua pilihan, shower foam dan sabun.. jarang juga gunakan sabun. Tapi sabun itu memang berbeza, bau wanginya sangat kuat dan memang harganya mahal dari sabun biasa.

Selepas itu saya mengambil seketul sabun jenama yang sama tetapi yang masih dalam bngkusan, lalu dimasukkan ke dalam beg untuk dibawa pulang ke Bukit Jelutong. Pelik kelakuan saya tapi itulah yang berlaku, mungkin kerana cara persembahan bapa buat saya berminat. Tambahan pula waktu itu saya ada ceritakan pada ibu saya mengenai gelagat bapa. Ibu hanya mengiyakan saja perbuatan saya.

Sengih bapa saya masih lagi segar dalam ingatan, kenapa saya teringat sangat kisah itu sukar untuk saya jelaskan.

Rupa-rupanya itulah terakhir kali saya melihat sengih bapa, dan itulah terakhir kali saya melihat bapa bergurau senda.

Sebulan selepas itu bapa pergi meninggalkan saya selamanya.

Pulang ke sini, saya dihadiahkan oleh seseorang yang istimewa satu set shower set yang cantik. Katanya sewaktu jalan-jalan di shopping mall ternampak shower set termasuk refill yang cantik dan teringat untuk membelinya buat saya. Terkejut apabila saya dapati dalam bungkusan hadiah itu adalah shower set tanpa dia mengetahui kisah ini. Saya kemudiannya menceritakan kisah ini padanya dan dia meminta saya menyimpan lebihan sabun itu sebagai kenangan. Katanya sabun itu akan memberikan nilai sentimental yang tersendiri dan akan menyedarkan saya apabila lupa dan leka.

Lebihan sabun dari bapa itu masih lagi saya simpan hingga kini. Wangiannya membuatkan saya mengingati masa lalu, kadang kala dengan hanya seimbas bauannya masuk ke hidung membuat saya tersentak dan sebak.

Baru saya tahu begitu rupanya Allah S.W.T menamatkan kisah hidup seorang hamba.

Perlukah mengungkapkan rindu pada semua,

Sedangkan yang tiada bapa.. kita,

bukan bapa mereka..

Perlukah ceritakan sengsara kita,

Kerana yang merasa pastilah kita saja..

Sama-samalah kita meminta,

bapa kita dan bapa mereka

berpanjangan dalam berkat-Nya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.